![]()
| setiap pengakhiran Ramadan
Posted on Sunday, March 30, 2025 @ 5:14 PM < 0 tomodachi >
Bismillahirahmanirahim Assalamu'alaikum Pada setiap pengakhiran Ramadan, tak pernah sekali pun bila merenung kembali apa yang telah diperbuat, hati merasai kepuasan. Pada Ramadan lalu ada penyesalan yang ditekad mahu diperbaik. Tapi masih, pada Ramadan yang baru saja pergi ni, ada juga penyesalan lain yang mahu diperbaik. Sepertinya saban tahun takkan terlepas dari siri-siri penyesalan tatkala dimuhasabahkan. Begitu juga halnya dengan pengalaman melakukan umrah yang ada kecacatan amal soleh dan akhlak buruk yang tekad mahu diperbaik. Lalu pada umrah kali kedua yang Allah rezekikan, setelah rasa usia yang bertambah matang akan mengecapi perbaikan yang dimahukan, masih juga ada penyesalannya. Juga halnya pada setiap medan amal yang berikan. Rasanya begitu juga kalau pun aku dapat menunaikan haji? Lantas aku merefleksi; memang beginikah nasibku yang tak pernah disepikan oleh penyesalan? “Dialah yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya…” — Al-Mulk: 2 Sendiri yang ajak adik usrah tadabbur ayat ni sebagai penutup Ramadan tadi. Memang sebenarnya Allah jadikan dunia ni tempat ujian bagi segenap manusia. Siapa yang berjaya… dan siapa yang kecundang.. “Kecuali orang yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan kebajikan (amal yang baik); maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebaikan...” — Al-Furqan: 70 Dalam Al-Quran, seringkali Allah menutupkan ayat-ayat begini dengan —Allah Maha Pengampun, Allah Maha Penyayang— untuk menyinari kembali jiwa hamba-hamba-Nya dengan rahmat dan harapan. Lalu siapa yang mahu bertindak? ‘Sifat orang mukmin itu, akan terus bertaubat dan memohon ampun sebaik sahaja menyedari kesalahannya’, fikrah islam yang sering datang berbisik tatkala jiwa dikuasai penyesalan dan keputusasaan. Mungkin memang begitulah lumrah kehidupan dunia yang bersifat sementara dan punya tarikh yang luput. Pada setiap kedatangan pasti ada perpisahan.. dan diiringi penyesalan prestasi amal atas masa-masa yang singkat. Jikalau begitu, ya Allah, biarkanlah aku dan penyesalanku sentiasa mengiringiku saban waktu.. asalkan aku sentiasa dapat merasai rahmat dan kasih sayang-Mu dalam mengampuniku lantas memperbaharui peluang bagiku. 30 Mac 2025 ![]() |
“Dialah yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya…” — Al-Mulk: 2
“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan kebajikan (amal yang baik); maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebaikan...” — Al-Furqan: 70


